“Saya terpaksa jual Pusat Tahfiz ini” Ustaz Kazim Elias.
“Saya terpaksa jual
Pusat Tahfiz ini” Ustaz Kazim Elias | PENDAKWAH terkenal Datuk Mohd Kazim
Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mengesahkan akan menjual Unit
Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya di Manjoi kerana
tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat berkenaan.
Pengesahan itu sekaligus merungkai persoalan statusnya di
Facebook serta di laman mudah.my mengenai penjualan pusat berkenaan.
Ustaz Kazim ketika ditemui NSTP di pusat berkenaan berkata,
beliau terpaksa menjual sebahagian pusat itu membabitkan unit tahfiz di pusat
berkenaan yang menempatkan 100 pelajar.
Katanya, keputusan sedih itu terpaksa diambil berikutan
tidak mampu lagi untuk menampung kos pentadbiran keseluruhan pusat berkenaan
yang kini mencecah RM150,000 sebulan.
“Pusat pendidikan ini terbahagi kepada tiga iaitu Unit
Tahfiz, Tadika Nurul Barakah dan Pengajian Pondok Moden dan saya akan menjual
hanya Unit Tahfiz seperti disiarkan di laman mudah.my.
“Keputusan ini memang amat sedih tetapi terpaksa diambil
kerana saya memikirkan nasib guru serta pelajar dan penjualan ini dapat
menampung kos pentadbiran dua lagi unit di pusat ini,” katanya yang juga
pengasas dan pengetua pusat berkenaan.
Ketika ditanya punca sebenar beliau tidak mampu lagi
menampung kos pentadbiran, Ustaz Kazim berkata, kerana tidak lagi mendapat panggilan
kuliah serta ceramah.
“Kami tidak pernah minta derma daripada mana-mana pihak,
parti politik atau sertai parti politik dan keseluruhan kos dibiayai melalui
ceramah, kuliah, penjualan buku-buku diterbitkan dan program-program
televisyen.
“Tetapi sejak dua tiga bulan ini saya rasa macam ada satu
usaha menyekat ceramah saya, dibatalkan dan dihalang, saya rasa kalau keadaan
ini berterusan, saya tidak mampu menampung Al Barakah,” katanya.
Menurut Ustaz Kazim, walaupun akan menjual unit tahfiz
berkenaan namun usaha melahirkan huffaz di negara ini akan diteruskannya dengan
mewujudkan satu pusat tahfiz dalam skala kecil selepas ini.
“Sebenarnya kita sudah ada tiga lot tanah di Jalan Juara,
Manjoi untuk pembinaan dan wang hasil penjualan unit tahfiz berkenaan akan
digunakan untuk membuka pusat tahfiz dalam skala kecil itu iaitu dalam 20
pelajar.
“Saya akan mengecilkan skala bagi menjimatkan kos dan
keputusan ini diambil untuk kepentingan bersama,” katanya
Post Comment
Tiada ulasan