Kenali Goltz Syndrome, penyakit yang tersangat jarang berlaku di malaysia!
Kenali Goltz Syndrome,
penyakit yang tersangat jarang berlaku di malaysia! | Dilahirkan dengan
keadaan kurang sempurna, anak syurga ini lahir tanpa bebola mata, 3 lubang di
jantung serta kesan terbakar pada tubuh badannya. Goltz Syndrome merupakan sejenis penyakit genetic yang cukup jarang
berlaku di sini. Dan mungkin, cahaya Imani merupakan satu-satunya penghidap di
negara ini.
Tipu jika Rasmawati Rashid, 25 tak sedih sebaik menyambut
kelahiran bayi sulungnya. Dengan tubuh badan berparut umpama kesan terbakar di
seluruh tubuh dan cacat penglihatan.
Namun dia dan suami, Adam bin Hassan, 30, tetap menerima
kehadiran Cahaya Imani, 5, dengan penuh kesyukuran.
Suami yang bekerja sebagai pemandu lori tak dapat bersama
dalam sesi temubual. Dia bertugas di luar daerah.
Kisah Cahaya Imani pernah tersiar di akhbar dan televisyen.
Dia penghidap Goltz Syndrome, sejenis penyakit genetik yang cukup asing,
mungkin dia satu-satunya yang ada penyakit ini di Malaysia.
Sepanjang mengandung, Rasmawati atau mesra dipanggil Ras,
tak alami kejadian pelik.
“Cuma alahan yang agak teruk sehingga pernah dimasukkan ke
wad kecemasan. Masa itu penyakit gastrik saya juga teruk hingga pernah muntah
darah.
“Tapi semuanya okay setelah usia kandungan tiga bulan. Bila saya membuat imbasan (scan) pun semuanya normal.”
Suami Tenangkan, Minta Saya Bersabar
Masa lahir Ras tak perasan anaknya cacat penglihatan.
Selepas satu jam, baru jururawat datang dan terangkan keadaan sebenar bayinya.
“Masa itu saya tak rasa apa-apa bila jururawat beritahu
Cahaya Imani lahir tak ada bebola mata dengan badannya ada kesan terbakar.
“Perutnya ada kesan luka sedikit. Mungkin sebab masa tu
masih terlalu lemah akibat proses bersalin. Saya pegang Imani macam tak ada
apa-apa. Saya susukan dia.
“Tapi bila suami tenangkan saya, minta saya bersabar.
Barulah sedih tu datang. Susah sebenarnya nak terima masa awal-awal. Tapi suami
tak pernah berhenti bagi semangat.
“Sampai akhirnya saya terima dengan hati terbuka. Goltz
Syndrome adalah penyakit genetik, bukan penyakit keturunan.”
Kata doktor yang merawat Imani, kes anaknya itu ‘special.
Mengikut laporan di negara lain, semua penghidap adalah normal. Tak alami
kecacatan anggota yang lain.
Doktor-doktor sendiri pun sukar nak buat rujukan berkaitan
penyakit Cahaya Imani.
“Walau apa pun, saya dan suami redha dengan ujian Allah ini.
Kami adalah insan terpilih untuk diuji dengan anak istimewa ini.
“Imani juga lahir dengan tiga lubang pada jantungnya. Alhamdulillah, hasil imbasan baru-baru ini, tinggal satu lubang saja lagi. Kata doktor, tak kronik. Jadi, tak perlukan pembedahan, cuma rawatan susulan saja.”
Anak Ini Lahir Tanpa Bebola Mata, 3 Lubang Di Jantung Dan Kesan
Terbakar Pada Tubuh
Bila Nak Makan, Dia Tadah Tangan Macam Orang Berdoa
Cahaya Imani dah pun berusia lima tahun. Dia semakin aktif
dan boleh berjalan di sekeliling ruang di dalam rumah.
“Dia sensitif sangat dengan haba panas. Kulitnya nipis jadi
perlu kerap mandi. Saya juga akan sapukan krim untuk menggelakkan kulitnya
kering.
“Bila dia rasa tak selesa, dia akan tarik tangan saya.
Fahamlah saya yang dia nak minta dimandikan.
“Imani belum boleh bercakap tapi saya boleh teka
keinginannya dari kelakuan dia. Kalau nak makan, dia akan menadah tangan macam
orang membaca doa.
“Anak saya ini juga alami masalah pendengaran pada telinga
kirinya. Dia cuma boleh dengar 50% saja. Sebab dekat belakang gegendangnya ada
air
“Setakat ini, tubuhnya kecil berbanding kanak seusianya. Tubuhnya
cuma boleh terima cecair.
“Bukan saya tak cuba bagi makanan pejal tapi dia tak pandai kunyah
nanti akan tercekik. Tak berani saya nak bagi. Imani cuma makan nestum dan
bubur.”
Akui ibu ini, tidak sukar menjaga anaknya. “Dia tak ada
penyakit kronik lain. Cuma sejak berusia empat tahun, dia kerap demam panas,
antara tiga hingga empat kali dalam sebulan.”
Kalau di lihat pada tubuhnya tinggal parut-parut umpama
kesan terbakar. Tapi anaknya sukat tidur malam. Tugas Raslah kena berjaga malam
mengawasi anaknya.
Sampai setakat ini, anaknya sudah melakukan tiga kali
pembedahan pada bahagian mata.
Ada Juga Yang Pandang Semacam, Tapi Normallah Tu
Ras berharap anaknya mampu membesar dengan sihat dan
menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
“Cahaya Imani inilah penyeri hidup saya dan suami. Kami
bersyukur kerana kedua-dua keluarga kami sentiasa menyokong dan memberikan
semangat. Mereka pun terima keadaan diri Cahaya Imani dengan tabah dan redha.
“Takkan sekalipun anak ini dipinggirkan. Sering kami bawa
dia bersiar-siar. Takkan biarkan dia di rumah saja. Walau pun ada yang pandang
semacam, saya anggap itu normal.
“Jika dia mampu bercakap dan tubuhnya membesar dengan sihat, baru kami akan fikir langkah seterusnya. Misalnya membawanya ke pusat pembelajaran untuk kanak-kanak istimewa dan sebagainya”
Sumber : mingguanwanita
Tiada ulasan